Sunday 29 November 2015

Spaghetti Udang Cili Tomato
Spaghetti Udang Cili Tomato
1/2 peket spaghetti
10 ekor udang besar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 sb cili boh
1 tin sos Prego perisa tomato, selasih dan bawang putih
1 tin cendawan butang
1 sb chilli flakes
2 sk gula
sedikit garam
sedikit lada sulah
minyak zaitun

Didihkan air yang dicampur dengan sedikit garam. Masukkan spaghetti dan rebus hingga al dente. Kemudian toskan air dan ketepikan.

Bawang besar dan bawang putih didadu halus. Cendawan butang di hiris-hiris. Udang diperap dengan sedikit garam dan lada sulah. Panaskan sedikit minyak dan goreng udang hingga kuning. Angkat dan ketepikan.

Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang-bawang hingga wangi. Masukkan cili boh dan tumis beberapa minit. Masukkan pula sos Prego dan kacau. Kalau sos agak pekat, masukkan sedikit air. Gunakan air daripada rebusan spaghetti kerana ianya mengandungi kanji dan akan membuat kuah lebih sedap.

Kemudian masukkan pula cendawan butang, chilli flakes dan gula. Kacau beberapa minit kerana cendawan tidak mengambil masa yang lama untuk masak. Akhir sekali masukkan udang dan kacau. Tutup api dan tuang kuah kedalam mangkuk. Hidang bersama spaghetti tadi.
Ayam Goreng Cajun
Ayam Goreng Cajun
500g ayam
1 sk garlic salt
3 sk serbuk Cajun
1 sk serbuk halia
sedikit minyak zaitun
1/2 biji bawang kuning
2 batang cili merah
sedikit English parsley

Perap ayam dengan garlic salt, serbuk Cajun, serbuk halia dan minyak zaitun selama 1 jam. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga kuning keemasan. Angkat dan ketepikan.

Hiris bawang kuning dan cili merah. Dengan menggunakan minyak menggoreng ayam tadi, goreng bawang kuning dan cili merah hingga separuh layu. Angkat dan tabur di atas ayam.

Hiris English parsley dan taburkan juga di atas ayam.
Spaghetti Udang Berkrim
Spaghetti Udang Berkrim
1/3 peket spaghetti
20 ekor udang saiz kecil
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
10 biji cherry tomatoes
sedikit English parsley
2 oz cooking krim
2 oz susu segar
sedikit garam
sedikit lada sulah
minyak zaitun

Rebus spaghetti di dalam air yang bercampur sedikit garam. Bila lembut, toskan spaghetti dan ketepikan. Udang diperap dengan sedikit garam dan lada sulah. Bawang besar dan bawang putih pula didadu kecil. Cherry tomatoes dibelah dua dan daun parsley dihiris.

Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang-bawang hingga wangi. Masukkan udang dan goreng hingga kuning. Kemudian masukkan spaghetti yang telah direbus tadi dan balik-balikkan. Masuk cooking krim, susu, garam dan gaul rata. Masukkan pula cherry tomatoes, kacau seminit dua dan akhir sekali masukkan daun parsley. Gaul rata dan bolehlah dihidangkan.

Friday 27 November 2015

Ayam Bbq Bersos
Ayam Bbq Bersos
500g ayam
3 sb sos bbq
1 sb serbuk lada hitam
1 sk serbuk dry basil
1 sb sos tiram
1 biji bawang besar

Hiris bawang besar. Perap ayam dengan sos bbq selama 1 jam.

Panaskan minyak. Tumis bawang besar hingga wangi. Kemudian masukkan ayam dan biarkan seketika hingga ayam masak. Jika kering, masukkan air sedikit-sedikit supaya ayam tak hangus. Balik-balikkan ayam. Bila ayam hampir masak, masuk dry basil, sos tiram dan sedikit air. Gaul semua bahan-bahan ini dengan ayam. Biar beberapa minit dan bolehlah dihidangkan.

Monday 23 November 2015

Karipap
Karipap
Kulit Karipap:
500 tepung gandum
5 sb mentega
5 sb minyak masak
21 sb air
1 biji telur
sedikit garam

Inti Karipap:
1 ketul daging kisar Ramly
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
2 sb rempah kari daging
1 biji kentang saiz kecil
sedikit daun kari
sedikit air
sedikit garam

Cara membuat inti karipap:
Bawang besar, bawang putih dan halia dicincang halus. Kentang didadu kecil. Rempah kari dibancuh dengan sedikit air untuk dijadikan pes.

Panaskan minyak. Goreng kentang hingga kuning, kemudian angkat dan ketepikan. Tambah minyak jika perlu dan tumis pula bawang-bawang dan halia hingga wangi. Masukkan daging cincang dan goreng hingga daging hampir masak. Masukkan pes kari, daun kari dan tumis lagi. Jika kering, masuk air sedikit sahaja. Inti perlu kering supaya karipap tidak lembab bila bakar. Akhir sekali, masukkan kentang yang telah digoreng terlebih dahulu dan perasakan inti dengan garam.

Sejukkan inti dahulu sebelum digunakan.

Cara membuat kulit karipap:
Cairkan mentega dan masukkan kedalam tepung. Kemudian panaskan pula minyak masak dan masukkan kedalam tepung. Masuk air sedikit-sedikit diikuti dengan garam dan gaul lagi.

Pecahkan telur di dalam bekas dan pukul sedikit. Masuk telur kedalam tepung tadi dan uli hingga sebati.

Ambil sedikit adunan, canaikan dan masukkan inti. Terpulang kepada anda samada nak kelim tepi karipap sendiri atau nak guna acuan karipap.

Panaskan minyak dan goreng karipap hingga kuning-kekuningan. Pastikan minyak tidak terlalu panas bila dimasukkan karipap bagi mengelakkan kulit menjadi bergerutu.

Friday 20 November 2015

Sagu Gula Melaka



Sagu Gula Melaka
Sagu:
1 cawan sagu
3 cawan air
1 helai daun pandan

Air Gula Melaka:
6 ketul gula melaka
8 cawan air
1 helai daun pandan

Santan:
1 biji kelapa
2 cawan air
sedikit garam

Bahagian Sagu:
Rendam sagu dalam air selama lebih kurang 20 minit. Kemudian toskan.

Didihkan air bersama daun pandan. Kemudian masukkan sagu. Kacau perlahan-lahan supaya sagu tidak pecah. Bila sagu dah mula pekat, keluarkan daun pandan. Tambah air sedikit-sedikit supaya sagu tak likat. Buat begitu sehingga sagu lembut.

Tuang sagu kedalam tapis dan basuh di bawah air paip untuk dibuang kanjinya. Kemudian masukkan sagu kedalam loyang atau acuan kecil. Biarkan sejuk seketika sebelum dimasukkan kedalam peti sejuk supaya sagu keras sedikit.

Bahagian Air Gula Melaka:
Rendam gula melaka dalam air suam sehingga gula lembut dan larut sedikit. Air tak perlu banyak, sekadar paras gula sahaja. Ini untuk menyenangkan kita masak gula nanti. Tak perlu masak terlalu lama.

Tambahkan air kedalam periuk tadi bersama daun pandan. Didihkan, kalau gula pekat tambah air lagi. Saya tak masukkan gula pasir sebab gula melaka ni dah cukup manis. Kacau sehingga gula larut.

Bila gula dah sejuk, tapis dan tuang kedalam bekas.

Bahagian Santan:
Masukkan kelapa parut bersama air kedalam blender. Kisar hingga kelapa halus. Tuang kedalam tapis dan perah kelapa untuk mendapatkan santan.

Didihkan santan bersama sedikit garam untuk mengeluarkan rasa lemak santan.

Cara Menghidang:
Keluarkan sagu dari acuan dan hidangkan bersama air gula melaka dan santan.

Saturday 14 November 2015

Butter Prawns
Butter Prawns
500g udang saiz besar
3 ulas bawang putih
5 biji cili padi
3 sk dry basil
1 sb mentega
2 biji telur
sedikit garam
sedikit serbuk lada sulah

Perap udang dengan sedikit garam dan lada sulah dalam 10 minit. Cincang halus bawang putih dan cili padi.

Panaskan kuali dengan mentega. Masukkan udang dan balik-balikkan hingga udang bertukar warna kepada merah kekuningan. Kemudian masukkan bawang putih dan kacau lagi. Masuk pula cili padi dan sedikit air supaya campuran udang tidak kering. Masukkan dry basil, sedikit garam dan lada sulah. Keluarkan udang tapi biarkan campuran lain di dalam kuali.

Pukul telur di dalam mangkuk. Tuang telur kedalam kuali dan gaul bersama bahan-bahan lain. Masukkan udang semula dan gaul rata. Sedia untuk dihidangkan.
Agar-agar warna-warni

Agar-agar warna-warni

10g agar-agar
850ml air
250ml susu cair
1 biji telur
240g gula
1 sk tepung kastard
pewarna merah, hijau dan kuning

Masak agar-agar bersama gula dan air hingga mendidih dan gula larut.

Pukul telur di dalam mangkuk dan masukkan susu cair dan tepung kastard. Kacau hingga tepung betul-betul sebati. Masukkan bancuhan ini kedalam periuk berisi agar-agar dan kacau hingga bancuhan mendidih. Guna api sederhana besar.

Tuang agar-agar kedalam loyang. Renjiskan pewarna merah, hijau dan kuning di atas agar-agar tadi. Biarkan agar-agar sejuk dahulu sebelum dimasukkan kedalam peti sejuk.

Saturday 7 November 2015

Honey Rice Krispies

Honey Rice Krispies
200g Rice Krispies
68g mentega
60g madu
60g gula halus
sedikit colored rice
paper cup saiz kecil

Cairkan mentega. Masukkan madu dan gula dan kacau hingga bahan-bahan sebati. Kemudian masukkan Rice Krispies dan gaul rata. Tutup api dan ketepikan.

Dengan menggunakan sudu kecil, masukkan sedikit adunan Rice Krispies kedalam papercup. Taburkan dengan sedikit colored rice.

Bakar dalam oven pada suhu 170℃ selama 15 minit atau sehingga kuning.
Sambal Ikan Bilis Dengan Kentang
Sambal Ikan Bilis Dengan Kentang
segenggam ikan bilis
3 biji kentang saiz sederhana
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
5 sb cili boh
1 keping asam keping
4 biji petai
2 sk gula
sedikit garam

Bawang besar dan bawang putih dihiris. Petai dibelah dua dan kemudian dipotong empat.

Kentang dipotong wedges dan digoreng hingga kuning. Angkat dan ketepikan.

Ikan bilis dibilas, kemudian ditoskan dan digoreng hingga garing. Angkat, tos dan ketepikan.

Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Masukkan cili boh dan kacau. Kemudian masukkan petai dan asam keping. Jika cili agak kering, masuk sedikit air dan kacau lagi. Lakukan begini selama 20 minit hingga cili masak dan kering sedikit. Perasakan dengan gula dan garam.

Bila cili sudah betul-betul masak, masukkan semula ikan bilis dan kentang yang telah digoreng tadi. Gaul ikan bilis, kentang dan sambal hingga rata. Hidang.