Friday 29 April 2016

Sotong Goreng Rempah Kari
Sotong Goreng Rempah Kari
10 ekor sotong
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 " halia
3 tangkai daun kari ikan
2 sk rempah kari
1 sk biji sawi
1 biji cili merah
sedikit hirisan bawang kuning
minyak untuk menumis

Bersihkan sotong dan potong kecil. Panaskan sedikit minyak dan goreng sotong sehingga airnya kering. Angkat dan ketepikan.

Bawang besar, bawang putih, halia dan cili merah dihiris. Bancuh rempah kari dengan sedikit air sehingga menjadi pes.

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang, halia, biji sawi dan daun kari hingga wangi. Masukkan bancuhan rempah kari dan kacau hinga naik aroma. Kalau kering masukkan sedikit air. Kemudian masukkan sotong dan kacau dalam 10 minit lagi. Tambah sedikit air jika perlu. Akhir sekali, masukkan hirisan bawang kuning dan cili merah. Gaul rata dan bolehlah dihidangkan.
Sup Selada Air

Sup Selada Air
1/4 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1/2 ikat selada air
1" lobak merah
2 keping fillet ayam
11/2 cawan air
sedikit serbuk stok ayam
sedikit garam
minyak untuk menumis

Bawang besar dan bawang putih dihiris. Lobak merah dibelah dua dan dihiris. Ayam dipotong kecil-kecil. Selada air dibasuh bersih dan dipotong. Nak dibiar tanpa potong pun boleh juga.

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang. Masukkan isi ayam dan kacau sekejap. Masukkan pula air dan biar mendidih. Bila air dah mendidih, masukkan carrot dan biar 1-2 minit diikuti dengan selada air. Sayur ini menambil masa yang sekejap untuk layu jadi pastikan ianya tidak dibiar terlalu lama. Perasakan dengan garam dan ianya sedia untuk dihidang.

Monday 25 April 2016

Chan Choy Goreng

Chan choy ini juga dikenali dengan nama sayur raja. Sayur ni berlendir sedikit jadi untuk menggurangkan lendirnya, potong sayur dan rendam dalam air garam selama 10-15 minit. Kemudian bilas, tos dan sedia untuk digoreng.

Chan Choy Goreng

1 ikat sayur chan choy
3 ulas bawang putih
1/2" halia
1 sk minyak bijan
sedikit garam
minyak untuk menumis

Bawang putih dan halia dicincang halus.

Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan halia hingga naik aroma. Masukkan batang sayur dan kacau 1-2 minit. Kemudian masukkan pula daun dan kacau lagi lebih kurang 3 minit.

Perasakan dengan garam dan tuang sedikit minyak bijan. Kacau 2-3 kali dan bolehlah dihidangkan.
Ayam Kicap Daun Kari
Ayam Kicap Daun Kari
1/2 ekor ayam
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/4 biji bawang besar kuning
1/2" halia
2 biji kentang saiz kecil
5 tangkai cili kering
3 tangkai daun kari
2 sb kicap pekat
4 sb kicap manis
1 sk asam jawa
2 -3 cawan air
sedikit garam
minyak untuk menumis

Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris. Bawang besar kuning dipotong bulat dan cili kering dipotong 2 atau tiga.

Kentang dipotong enam. Bancuh asam jawa dengan sedikit air.

Perap ayam dengan sedikit kicap manis lebih kurang dalam 1/2 jam.

Panaskan minyak. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia bersama daun kari dan cili kering hingga wangi. Masukkan ayam dan gaul bersama-sama bahan-bahan tumis. Kemudian masukkan satu cawan air dan renih selama 10 minit. Masukkan pula kicap pekat, kicap manis, dan air asam jawa. Kacau dan biar lebih kurang 10 minit lagi. Akhir sekali, masukkan pula kentang, bawang besar kuning, baki air dan sedikit garam. Biar hingga ayam masak.

Sedia untuk dihidang.

Friday 22 April 2016

Udang Goreng Rempah Kari
Udang Goreng Rempah Kari
20 ekor udang saiz kecil
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
2 tangkai daun kari
2 sk rempah kari
1 sk biji sawi
sedikit air
sedikit lada sulah
sedikit garam
sedikit gula perang
minyak untuk menggoreng

Udang dibersihkan. Perap dengan sedikit lada sulah dan garam. Panaskan minyak, goreng udang hingga masak. Angkat dan toskan.

Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris. Bancuh rempah kari dengan sedikit air untuk dijadikan pes.

Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang-bawang dan halia. Masukkan pula biji sawi dan daun kari. Kacau hingga wangi. Masukkan pula pes kari dan tambah air jika kering.

Akhir sekali, masukkan udang, garam dan gula perang. Kacau rata. Hidang.
Nasi Goreng Black Pepper
Nasi Goreng Black Pepper
1 mangkuk nasi putih
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 cm halia
100g daging
1" lobak merah
11/2 sb kicap soya pekat
21/2 sb serbuk black pepper
2 sb serbuk  black pepper Maggi/Seri Aji
1 sb sos black pepper
sedikit garam
minyak untuk menumis

Daging dihiris nipis dan diperap dengan sos black pepper. Ketepikan dalam 1/2 jam.

Bawang besar, bawang putih dan halia dikisar dengan sedikit air. Lobak merah dibelah dua dan dihiris nipis.

Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan kisar hingga wangi. Masukkan daging dan goreng hingga daging masak. Kemudian masukkan lobak merah dan kacau 2-3 minit. Kemudian masukkan nasi, kicap soya pekat, serbuk black pepper, serbuk black pepper Maggi/Seri Aji dan garam. Gaul rata bahan-bahan dan bolehlah dihidangkan.

Monday 18 April 2016

Agar-agar Laici

Agar-agar Laici

10g serbuk agar-agar
1 tin laici - airnya dalam 370ml
1 tin (390ml)susu cair
40ml air
60g gula
1 helai daun pandan

Asingkan buah laici dari airnya. Ketepikan airnya dan hiris laici halus-halus.

Campurkan serbuk agar-agar bersama-sama air, daun pandan, gula, susu cair dan air laici dari dalam tin. Didihkan dengan api kecil dan kacau hingga serbuk agar-agar larut. Tutup api, keluarkan daun pandan dan ketepikan dalam 15 minit sambil kacau-kacau campuran tadi. 

Masukkan hirisan buah laici dan kacau perlahan-lahan. Tuangkan kedalam acuan kegemaran. Saya gunakan senduk supaya campuran tak tumpah dan isi laici rata di dalam acuan. Sejukkan sebentar sebelum dimasukkan kedalam peti sejuk.
Daging Masak Merah
Daging Masak Merah
200g daging
sedikit pewarna merah
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
1/2 biji lada benggala hijau
2 sb sos tiram
2 sb sos cili
2 sb sos tomato
sedikit garam
sedikit air
minyak untuk menumis

Rebus daging dengan sedikit pewarna merah dan sedikit garam lebih kurang dalam 5 minit. Kemudian buangkan airnya dan toskan daging. Ketepikan.

Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris halus. Lada benggala hijau dihiris.

Panaskan minyak. Tumis bawang-bawang dan halia hingga wangi. Masuk daging dan kacau. Kemudian masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato dan sedikit air supaya kuah tidak terlalu pekat. Tak perlu garam lagi sebab kuah dah cukup masin. Akhir sekali, masukkan lada benggala dan kacau 2-3 minit.

Sedia untuk dihidang.

Friday 15 April 2016

Bayam Masak Bening
Bayam Masak Bening
1/2 ikat bayam
1/4 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
1 biji keledek
2 cawan air
1/2 sk serbuk sup sayur
sedikit garam

Bawang besar dan bawang putih dihiris. Keledek dipotong kecil.

Didihkan air bersama bawang-bawang dan keledek. Bila keledek empuk, masukkan bayam, serbuk sup sayur dan sedikit garam. Kacau dan bila sayur layu, angkat dan bolehlah dihidangkan.
Daging Balado
Daging Balado
250g daging
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 cm halia
5 biji cili merah
4 biji cili padi merah
3 biji buah keras
1 sb sos tiram
1 asam keping
2 sk gula
1/2 sk garam
1 sk serbuk kunyit
sedikit air
minyak untuk menumis

Perap daging dengan garam dan serbuk kunyit dalam 1/2 jam. Panaskan sedikit minyak dan goreng daging hingga masak. Ketepikan.

Bawang merah, bawang putih, halia, cili merah, cili padi dan buah keras dikisar dengan sedikit air. Jangan kisar terlalu hancur.

Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga wangi dan agak kering. Semasa menumis, masukkan sos tiram, asam keping, gula dan sedikit garam.

Bila sambal dah masak, masukkan daging dan gaul dalam 3-4 minit. Sedia untuk dihidang.

Tuesday 12 April 2016

Labu Goreng Rempah Kari

Resepi ni saya dapat dari rakan saya, Yoges, sewaktu kami sama-sama bekerja disatu kolej di PJ dulu. Salah satu resepi kegemaran saya bila masak labu butter squash.

Labu Goreng Rempah Kari
1/2 biji labu butter squash
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sk rempah kari daging
1/2 sk rempah kari ikan
1/4 sk serbuk kunyit
2 sk jintan manis
10-15 helai daun kari
sedikit air
sedikit garam
minyak untuk menumis

Labu dipotong kecil dan direbus dengan air yang bercampur dengan sedikit garam. Bila setengah masak, toskan dan ketepikan sekejap.

Bawang besar dan bawang putih dicincang halus. Kemudian bancuh rempah kari daging, rempah kari ikan dan serbuk kunyit dengan sedikit air. Ketepikan.

Panaskan minyak. Tumis bawang-bawang, jintan manis dan daun kari hingga wangi. Masukkan bancuhan rempah kari dan kacau hingga naik bau. Jika kering, masukkan sedikit air. Masukkan pula labu yang telah direbus, gaul rata dan perasakan dengan garam. Hidang.
Ayam Kerutup
Ayam Kerutup
1/2 ekor ayam
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
1 batang serai
1/2 biji bawang besar kuning
2 biji cili merah
2 1/2 sk Rempah Kerutup
1 sb cili boh
1/2 biji kelapa
1 sb kerisik
1 sb asam jawa
1 sb gula melaka
garam secukup rasa
1 tangkai daun sup
minyak untuk menumis

Kisar bawang besar, bawang putih dan halia bersama sedikit air. Bawang kuning dipotong bulat. Cili merah pula dibelah memanjang. Serai dititik. Perah kelapa dalam 2 cawan.

Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan kisar bersama serai hingga wangi. Masukkan cili boh dan kacau hingga pecah minyak. Bancuh rempah kerutup dengan sedikit air dan kemudian masukkan kedalam kuali dan kacau lagi hingga bahan-bahan sebati. Masukkan pula ayam bersama satu cawan air dan biar merenih dalam 20 minit.

Masukkan kerisik, air asam jawa, gula perang, daun sup (tak letak pun tak apa) dan garam. Bila dah sebati, masukkan santan dan kacau supaya santan tak pecah. Kecilkan api dan kacau dalam 10 minit. Masukkan cili merah dan bawang besar kuning, kacau 2-3 minit dan bolehlah dihidangkan.

Friday 8 April 2016

Ikan Siakap Stim
Ikan Siakap Stim
2 ekor ikan siakap
3" halia
2 biji tomato
1 sb sos ikan
1 sb kicap manis
1/4 bahagian lobak asin basah
shitake mushroom
daun ketumbar atau daun bawang

Bersihkan ikan dan lumur dengan garam untuk hilangkan hanyir ikan. Kemudian bilas, toskan dan letakkan ikan dalam pinggan.

Hiris halia, lobak asin dan tomato. Letak halia, lobak asin dan tomato didalam perut ikan dan juga dibawah dan diatas ikan. (Kalau ada shitake mushroom, hiris dan letakkan sekali).  Campur sos ikan dan kicap manis dan tuang diatas ikan. Kemudian stim ikan selama 10 minit.

Semasa hidang, tabur daun ketumbar atau daun bawang untuk hiasan.
Bayam Goreng Cili Kering

Bayam Goreng Cili Kering
1/2 ikat bayam
1/4 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
5 biji cili kering
1/2 sk serbuk stok sayur
sedikit sayur
sedikit air
sedikit garam
minyak untuk menumis

Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis. Cili kering dipotong dua.



Panaskan minyak. Tumis bawang-bawang dan cili kering hingga wangi. Masukkan sayur dan balik-balikkan sekejap. Kemudian masukkan serbuk stok sayur, sedikit air dan garam. Kacau, tutup api dan angkat. Hidang.

Tuesday 5 April 2016

Agar-agar Coklat
Agar-agar Coklat

10g serbuk agar-agar
710 ml air
240g gula
1 tin (390 ml) susu cair
50g serbuk koko
1sb tepung kastard
1 biji telur

Larutkan serbuk koko dengan 100ml air panas. Ketepikan. Tepung kastard pula dibancuh dengan 10ml air panas, larutkan dan ketepikan juga.

Didihkan 600ml air bersama gula didalam periuk. Bila gula larut, masukkan bancuhan serbuk koko, susu cair dan tepung kastard. Kacau rata supaya bancuhan tidak berketul-ketul. Masukkan pula serbuk agar-agar dan gaul rata.

Pecahkan telur didalam mangkuk. Pukul telur hingga sebati. Ambil satu senduk campuran agar-agar dan campur kedalam telur. Kacau dan tuangkan semula kedalam periuk tadi. Kacau rata lagi. Tutup api dan ketepikan periuk lebih kurang dalam 5 minit sambil dikacau campuran agar-agar tadi.

Tapis campuran agar-agar kedalam mangkuk dan barulah dituangkan kedalam acuan kecil. Sejukkan sebentar sebelum dimasukkan kedalam peti sejuk.
Ikan Talapia Sambal Hijau
Ikan Talapia Sambal Hijau
2 ekor ikan talapia
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1" halia
6 biji cili hijau
4 biji cili padi hijau
sedikit air
1 batang serai
1 keping asam
1 sb sos tiram
1 sb gula
1/2 sk garam
1 sb serbuk kunyit
minyak untuk menggoreng
bawang besar kuning

Kisar bawang besar, bawang putih, halia, cili hijau dan cili padi bersama sedikit air hingga hancur. Serai dititik.

Perap ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Angkat dan toskan.

Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bahan-bahan kisar dan serai hingga wangi. Kacau hingga kering sedikit. Masuk asam keping, sos tiram, garam dan gula. Kacau lagi hingga sambal masak dan sebati.

Bila sambal dah masak, masukkan bawang besar kuning yang telah dihiris bulat. Kacau. Masukkan pula ikan tadi, balik-balikkan dan bolehlah dihidangkan.

Saturday 2 April 2016

Sambal Rebung
Sambal Rebung
1/2 paket rebung
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
3 sb ikan bilis
1 sk sos tiram
sedikit air
minyak untuk menumis

Rebung dipotong seperti batang mancis.

Tumbuk kasar bawang besar, bawang putih, cili merah dan ikan bilis.

Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tumbuk hingga wangi. Masuk rebung dan kacau sebati. Kalau kering, masukkan sedikit air. Kemudian masukkan sedikit sos tiram dan kacau rata. Tak perlu garam sebab ikan bilis dan sos tiram dah masin.

Sedia untuk dihidang.
Sambal Ikan Dengan Serai
Sambal Ikan Dengan Serai
2 ekor ikan
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2" halia
3 batang serai
1/4 biji bawang besar kuning
3 sb cili boh
1 asam keping
2 sk gula
1/2 sk garam
sedikit air
minyak untuk menumis

Ikan digaul dengan garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng hingga garing. Angkat dan ketepikan.

Bawang besar, bawang putih, halia dan serai dihiris halus. Bawang besar kuning dihiris kasar.

Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan hiris kecuali bawang besar kuning. Bila wangi, masukkan cili boh dan tumis dalam 5 minit. Masukkan sedikit air jika kering. Kacau hingga pecah minyak.

Kemudian masukkan pula asam keping, garam dan gula. Akhir sekali, masukkan ikan yang telah digoreng dan bawang besar kuning. Biarkan beberapa minit, angkat dan hidang.