Thursday 28 December 2017

Kari Daging
Kari Daging
500g daging
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2" halia
1 batang serai
1/2 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum cengkih
2 biji buah pelaga
3-4 sb serbuk kari daging
3/4 biji kelapa parut
1 biji kentang
sedikit daun kari
sedikit garam
minyak untuk menumis

Kisar bawang besar, bawang putih dan halia bersama sedikit air. Bancuh serbuk kari daging dengan sedikit air.

Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga wangi. Masuk rempah empat sekawan dan tumis lagi. Kemudian masukkan bancuhan serbuk kari dan kacau hingga terbit minyak. Kalau kering, tambah air. Masukkan juga serai.

Masukkan daging dan sedikit air dan biar hingga mendidih dan daging empuk. Masukkan pula kentang, daun kari dan biar hingga kentang hampir lembut. Akhir sekali, masukkan santan dan garam. Hidang.
Ikan Sambal Berempah
Ikan Sambal Berempah
4 ekor ikan cencaru
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
3 sb cili boh
1 sb serbuk jintan putih
3/4 sb serbuk ketumbar
1 sk serbuk cili
1/2 sk serbuk kunyit
1 sk biji sawi
1 keping asam
2 biji tomato
sedikit serbuk lada hitam
sedikit daun kari
sedikit daun pudina
sedikit garam
sedikit air
minyak untuk menumis

Perap ikan dengan sedikit serbuk kunyit dan garam. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Angkat.

Panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dihiris. Masukkan cili boh, biji sawi, serbuk cili dan serbuk kunyit. Jika kering, tambah sedikit air. Kacau.

Masukkan pula daun kari, daun pudina, tomato, asam keping, serbuk ketumbar, serbuk jintan putih dan serbuk lada hitam. Bila rempah sudah sebati, masukkan ikan dan perasakan dengan sedikit garam. Kemudian angkat dan hidang.
Telur Masin
Telur Masin
2 biji telur masin
5 cawan air

Bersihkan telur masin. Buang salutan hitam diluar telur dan basuh bersih.

Masukkan telur ke dalam periuk bersama air. Didihkan dan biar masak lebih kurang dalam 20 minit. Keluarkan telur, biarkan sejuk dan belah dua. Hidang.

Tuesday 19 December 2017

Teh Halba
Teh Halba
1 cawan air panas
1sb halba
2 sk madu

Rendam halba dalam air panas lebih kurang 8 jam atau semalaman. Tapis dan campur dengan sedikit madu atau cuka buah-buahan. Boleh juga diganti dengan perahan lemon atau limau kasturi. Kacau dan hidang.
Ayam Paprik
Ayam Paprik
8 keping isi ayam
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
3-4 sb cili boh
4 peket sos tomato
3 peket sos cili
2 sb kicap manis Jalen
1/2 biji lada benggala hijau
2" lobak merah

1 tangkai daun ketumbar
1 sb gula
2 cawan air
sedikit garam
minyak untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang dan halia yang dihiris hingga naik aroma. Masukkan cili boh dan kacau sekejap.

Masukkan isi ayam dan juga sos tomato, sos cili dan kicap manis. Kacau rata dan masukkan air. Bila ayam hampir masak, masuk lada benggala hijau dan lobak merah. Jika ada bunga kobis dan putik jagung, boleh masukkan juga. Akhir sekali, masukkan garam dan gula. Gaul rata dan tabur daun ketumbar semasa hidang.
Sambal Telur
Sambal Telur
8 biji telur
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 paket cili boh
1sk gula
1 keping asam
sedikit garam
minyak untuk menumis

Rebus telur. Kupas kulitnya dan ketepikan.


Kisar bawang besar bersama bawang putih.


Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga wangi. Masukkan cili boh dan kacau. Kemudian masukkan sedikit air dan kacau lagi dalam 5 minit. Biar cili masak lebih kurang dalam 10 minit lagi. Masukkan gula, sedikit garam dan asam keping.
Akhir sekali, masukkan telur tadi. Kacau dan hidang.

Friday 8 December 2017

Kacang Buncis Goreng Telur
Kacang Buncis Goreng Telur

1/2 peket kacang buncis
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji telur
sedikit garam
minyak untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih yang telah dihiris. Masukkan kacang buncis dan kacau sekejap. Pukul telur dan tuang ke dalam kuali. Gaul rata bersama kacang buncis. Masukkan pula cili merah hiris dan garam. Gaul sekali lagi, angkat dan hidang.
Hati Lembu Goreng Lada
Hati Lembu Goreng Lada
300g hati lembu
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
4 biji cili padi
11/2" halia
1sk sos tiram
1 tangkai daun bawang
1/2 biji bawang besar
sedikit air
sedikit garam
minyak untuk menumis

Kisar 1 biji bawang besar dengan bawang putih, cili padi dan halia. Panaskan sedikit minyak dan goreng hati lembu yang telah digaul dengan sedikit garam. Bila airnya kering, masuk bahan-bahan kisar dan kacau. Kemudian masuk garam, sos tiram dan sedikit air jika kering.

Bila hati sudah masak, masuk 1/2 biji bawang besar yang dihiris dan juga daun bawang. Gaul rata dan hidang.
Nasi Goreng Ringkas
Nasi Goreng Ringkas
1 mangkuk nasi putih
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 biji cili padi
1 biji telur
segenggam ikan bilis
1/2 sk serbuk Maggi Cukup Rasa
sedikit garam
minyak untuk menggoreng

Pukul telur hingga kembang. Panaskan minyak dan goreng telur ala scramble. Ketepikan. Panaskan minyak lagi dan goreng ikan bilis hingga garing dan ketepikan juga.

Kisar bawang besar, bawang putih dan cili padi. Dengan menggunakan minyak menggoreng ikan bilis tadi, tumis bahan-bahan kisar hingga wangi. Masukkan nasi dan gaul rata. Kemudian masukkan serbuk Maggi, garam, telur dan ikan bilis. Gaul rata sekali lagi, angkat dan hidang.

Saturday 2 December 2017

Sirap Bandung Cincau
Sirap Bandung Cincau
1 sb sirap ros
2 sb susu pekat
250 ml air masak
1/4 peket cincau
beberapa ketul air batu

Masukkan sirap ros ke dalam gelas. Kemudian masukkan air masak dan susu pekat. Kacau. Potong cincau kecil-kecil. Masukkan cincau ke dalam gelas bersama air batu. Hidang.
Pulut Kuning
Pulut Kuning

500g pulut
1/2 biji kelapa
1 sk serbuk kunyit
1 sk garam
2 helai daun pandan
air secukupnya

Rendam pulut bersama kunyit. Biar semalaman. Kemudian toskan pulut. Susun daun pandan di atas dulang pengukus dan letak beras pulut di atasnya. Panaskan pengukus, dan kukus beras pulut selama 1/2 jam atau sehingga lembut. Angkat dan masukkan di dalam mangkuk besar. Kacau santan dalam anggaran 500 ml bersama garam. Tuang santan ke dalam pulut dan gaul sehingga santan meresap. Masuk pulut balik ke dalam pengukus dan kukus lagi sehingga pulut betul-betul masak. Hidang bersama Rendang Ayam atau Daging.

Friday 1 December 2017

Rendang Daging
Rendang Daging
3kg daging
4 biji bawang besar
6 biji bawang putih
2" halia
2 batang serai
7 sb cili kisar
2" lengkuas
1 paket kerisik
21/2 biji kelapa
6 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit
1 keping asam
1/2 sb gula
1 sb garam
minyak untuk menumis

Rebus daging bersama air, bawang besar, bawang putih, halia dan serai. Bila daging 3/4 masak, padamkan api.

Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dikisar. Bila wangi, masukkan cili kisar, lengkuas dan serai yang telah diketuk. Kacau hingga naik bau.

Masukkan daging dan air rebusan daging. Bila mendidih, masukkan santan, kerisik, daun limau purut dan daun kunyit yang telah dihiris, asam keping, garam dan gula. Kecilkan api dan biar hingga daging masak dan kuah agak kering.

Hidang.

Friday 24 November 2017

Petola Goreng Biji Sawi
Petola Goreng Biji Sawi
1/2 biji petola
2" lobak merah
1/4 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit ikan bilis
4 biji cili kering
1 sb biji sawi
 sedikit serbuk perasa
sedikit garam
minyak untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih yang telah dihiris. Kemudian masukkan ikan bilis, biji sawi dan tumis lagi. Bila ikan bilis lembut dan kuning, masukkan pula petola, lobak merah, cili kering, garam dan serbuk perasa. Gaul rata dan bila sayur-sayur masak dan lembut, bolehlah angkat dan hidang.
Ikan Masin Goreng
Ikan Masin Goreng
2 keping ikan masin kurau
minyak untuk menggoreng

Rendam ikan masin dalam 10 minit. Toskan airnya.

Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Hidang sebagai penambah selera.

Thursday 23 November 2017

Daging Kicap Berempah
Daging Kicap Berempah
200g daging
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
1 biji cili merah
2 sb sos tiram
2 sb kicap lemak manis
3/4 sk serbuk ketumbar
1/2 sk serbuk jintan (cumin)
sedikit air
sedikit daun sup
minyak untuk menumis

Perap daging dengan sedikit sos tiram dan kicap lemak manis. Hiris bawang besar, bawang putih dan halia.

Panaskan minyak. Tumis bawang-bawang dan halia hingga naik bau. Masukkan daging dan goreng hingga hampir masak. Masukkan sedikit air jika kering.

Kemudian masukkan sos tiram dan kicap lemak manis lagi diikuti dengan serbuk ketumbar, serbuk jintan dan sedikit air. Kacau rata.

Akhir sekali, masukkan cili merah. Tabur daun sup semasa hidang.

Saturday 18 November 2017

Sandwich Hotdog
Sandwich Hotdog
2 ketul roti hotdog
2 batang hotdog
2 helai daun salad
mentega
mayonis
mustard
minyak untuk menggoreng

Panaskan minyak dan goreng hotdog hingga masak. Angkat dan ketepikan.

Belah roti hotdog dan sapu mentega. Letak daun salad diikuti dengan hotdog. Ambil sedikit mayonis dan mustard dan sapu atas hotdog. Kalau tak suka mayonis dan mustard, tabur sedikit garam dan lada hitam.
Teh Halia
Teh Halia
1 uncang teh
1 mug air panas
3 hiris halia
2 sb susu pekat

Letak hirisan halia di dalam mug. Tuang air panas dan biar dalam 1-2 minit. Masukkan uncang teh dan biar sekejap. Kemudian masukkan susu pekat dan kacau.

Kalau nak buih-buih sikit, 'tarikkan' sikit teh ni. Guna satu lagi bekas atau kole semasa 'menarik'. Lagi tinggi 'tarik', lagi banyak buihnya.

Sunday 12 November 2017

Teh O Madu Lemon
Teh O Madu Lemon
1 uncang teh
1 gelas air panas
2 sk madu
1 sk jus lemon
1 hiris lemon

Rendam uncang teh dalam air panas. Masuk jus lemon dan madu. Kacau. Masuk sehiris lemon dan hidang.
Kerabu Daging
Kerabu Daging

500g daging
1 biji bawang besar
5 biji cili padi
5 tangkai daun ketumbar
50g taugeh

Hiris daging dan rebus dengan sedikit garam selama 11/2 jam atau hingga empuk.

Hiris bawang merah dan cili padi. Potong kasar daun ketumbar dan masukkan kesemua bahan-bahan kedalam mangkuk bersama taugeh dan daging rebus tadi. Hidang dengan sambal belacan.



Sambal Belacan
Sambal Belacan

4 biji cili merah
3 sk belacan
4 biji limau kasturi
1 sk gula
sedikit garam

Kisar cili merah, belacan dan gula hingga halus. Masukkan perahan jus limau kasturi dan garam. Gaul rata.

Hidang sambal belacan berasingan dengan kerabu atau boleh juga gaulkan dengan daging dan sebatikan rasa.
Labu Masak Lemak Daun Selasih
Labu Masak Lemak Daun Selasih
1/2 biji labu
1/2 biji bawang besar
1 biji cili merah
1/2 biji kelapa
10 helai daun selasih
sedikit ikan bilis
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam
sedikit serbuk lada hitam
sedikit ajinomoto

Ikan bilis boleh dikisar atau dibiarkan begitu sahaja. Rebus labu hingga separuh masak. Sejukkan dan potong kiub.

Masuk santan, ikan bilis, serbuk lada hitam dan bawang ke dalam periuk. Tak perlu menumis bawang bila masak lemak. Gunakan api kecil dan biarkan mendidih.

Bila mendidih, masukkan labu, serbuk kunyit, garam, ajinomoto, cili merah dan daun selasih. Bila labu masak, angkat dan hidang.

Saturday 4 November 2017

Sirap Ais Limau
Sirap Ais Limau
3 sb pes sirap ros
1 gelas air
3 biji limau kasturi
air batu

Tuang pes sirap dalam gelas. Masukkan air, jus limau kasturi dan kacau. Kemudian masukkan air batu, limau kasturi yang dibelah dua dan hidang.
Labu Siam Tumis Air
Labu Siam Tumis Air
1/2 biji labu siam
1/4 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
2 cawan air
1/2 sk serbuk stok sayur
sedikit garam
minyak untuk menumis

Labu siam dibuang kulit dan hiris menyerong.

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang yang telah dihiris. Masukkan air dan biar mendidih. Bila air mendidih, masuk labu, serbuk stok sayur dan sedikit garam. Akhir sekali, masukkan cili merah dan bila labu lembut, angkat dan hidang.
Ayam Masak Soya Sos
Ayam Masak Soya Sos

3 keping isi ayam
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2" halia
1" lobak merah
4 biji cendawan butang
1/2 biji lada benggala
1 biji cili habanero
1 sb soya sos cair
sedikit garam
sedikit gula
sedikit lada sulah
sedikit tepung jagung + sedikit air
minyak untuk menumis

Isi ayam dipotong kecil. Perap dengan sedikit lada sulah. Ketepikan.

Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris halus.

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang dan halia hingga wangi. Masukkan ayam dan kacau sehingga ayam hampir masak. Masukkan pula soya sos cair, lobak merah dan lada benggala. Kemudian masukkan pula cili habanero dan cendawan butang. Bancuh tepung jagung dengan air dan tuang kedalam kuali. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau sekejap dan hidang.

Tuesday 24 October 2017

Spaghetti Goreng Kicap
Spaghetti Goreng Kicap

200g spaghetti
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
50g daging
10 ekor udang saiz kecil
3 batang sawi Jepun
6 keping cendawan tiram
7 biji fishball
1/2 batang fishcake
1 sb cili boh
3 sb kicap lemak manis Jalen
sedikit garam
minyak untuk menumis

Didihkan air dengan garam. Masuk spaghetti dan rebus hingga al dente. Toskan air.

Daging dihiris nipis. Udang dibuang kulit dan dibersihkan. Tinggalkan sedikit kulit dibahagian ekornya sahaja.

Bawang besar dan bawang putih didadu kecil. Koyak-koyakkan cendawan tiram. Fishball dibelah dua dan fishcake dihiris-dihiris.

Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang-bawang hingga wangi. Masukkan cili boh dan tumis lagi. Kemudian masukkan daging dan gaul sebentar.

Masukkan pula udang, fishball dan fishcake. Gaul semua bahan-bahan ini. Bila hampir masak, masukkan spaghetti, kicap lemak manis dan sedikit garam. Akhir sekali, masukkan sawi Jepun dan balik-balikkan sehingga sayur masak. Hidang.
Ayam Goreng Ala KFC
Ayam Goreng Ala KFC
4 keping isi ayam
1 biji telur putih
4 sb tepung Kentucky Puas
sedikit garam
minyak untuk menggoreng

Potong ayam kecil-kecil. Celup ayam dalam telur putih. Kemudian gaul ayam dalam tepung Kentucky yang telah di campur dengan sedikit garam.

Panaskan minyak dan goreng ayam hingga garing. Hidang.

Tuesday 17 October 2017

Ikan Tenggiri Masak Kicap
Ikan Tenggiri Masak Kicap

3 keping ikan tenggiri
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
1 biji cili merah/hijau
1 sk cili boh
1 sk kicap manis
2 sb kicap lemak manis
1 sb Karamel Masakan (Cooking Caramel)
1 asam keping
sedikit garam
sedikit lada sulah
sedikit daun saderi/sup
daun bawang
minyak untuk menggoreng dan menumis

Gaul ikan bersama garam dan lada sulah. Perap 30 minit. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga masak tapi jangan terlalu garing. Angkat dan ketepikan.

Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dihiris hingga naik bau. Masuk cili boh, kacau sekejap dan masukkan pula kicap manis, kicap lemak manis, Karamel Masakan diikuti dengan asam keping dan sedikit air. Kacau.

Bila mendidih, masukkan ikan, garam, daun sup, daun bawang dan cili merah/hijau yang telah dihiris. Hidang.


Kacang Buncis Goreng Cili
Kacang Buncis Goreng Cili

4 keping isi ayam
10 batang kacang buncis
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
2 sk pes cili Thai
sedikit garam
minyak untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang dan halia yang telah dihiris. Bila wangi, masukkan isi ayam yang telah dipotong kecil-kecil. Kacau hingga ayam hampir masak dan kemudian masukkan kacang buncis. kalau kering, tambah sedikit air.

Kemudian masuk pula pes cili, garam dan kacau lagi hingga rata. Angkat dan hidang.
Sup Cendawan Inoki
Sup Cendawan Inoki
1 peket cendawan inoki
1 batang seleri
1" lobak merah
1/4 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
2 cawan air
1/2 sk serbuk stok ayam
sedikit garam

Didihkan air. Masuk bawang-bawang hiris, seleri, lobak merah, serbuk stok ayam dan garam. Bila sayur-sayur hampir lembut, masukkan pula cendawan inoki. Biar dalam 1-2 minit dan bolehlah dihidang.

Thursday 12 October 2017

Jus Limau Nipis Asam Boi
Jus Limau Nipis Asam Boi
10 biji asam boi
2 liter air
3-4 biji limau nipis
gula
air batu

Rebus asam boi dengan air hingga kembang. Masuk gula secukupnya. Biarkan sejuk. Kemudian tuang air asam boi ke dalam gelas. Perah limau nipis dan letak air batu secukupnya. Hidang.
Spaghetti Bolognese
Spaghetti Bolognese
100g spaghetti
1 keping daging kisar Ramly
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 biji lada benggala hijau
2" lobak merah
1 helai daun bay
1/4 sk herba kering Bolognese
1 botol (380ml) sos Bolognese
190ml air pasta
sedikit garam
minyak zaitun

Rebus spaghetti hingga al dente di dalam air yang dicampur dengan sedikit garam. Kemudian toskan air dan ketepikan spaghetti. Simpan air rebusan pasta.

Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang-bawang yang didadu kecil. Bila wangi, masukkan daging kisar. Kacau-kacau hingga daging hampir masak. Kalau kering, masuk sedikit air.

Kemudian masukkan sos Bolognese, air rebusan pasta, daun bay, herba kering, lobak merah dan lada benggala hijau yang didadu kecil. Kacau rata. Perasakan dengan garam.

Hidang dengan spaghetti.

Thursday 5 October 2017

Bubur Kacang Merah
Bubur Kacang Merah
1/2 peket kacang merah
3/4 biji kelapa
1 helai daun pandan
4 sb gula putih
4 ketul kecil gula melaka

Rebus kacang merah bersama daun pandan di dalam santan cair atau air hingga lembut. Bila kacang lembut, masukkan santan pekat, gula putih dan gula melaka dan kacau sehingga gula larut. Pastikan api kecil supaya santan tidak pecah. Hidang.
Peria Goreng
Peria Goreng
1 batang peria
1/2 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
sedikit ikan bilis
sedikit garam
minyak untuk menumis

Peria dibelah dua dan kemudian dihiris. Gaul hirisan peria dengan garam dan biar selama 15 minit untuk mengeluarkan rasa pahit peria. Kemudian basuh dan tos.

Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan ikan bilis. Bila wangi, masuk peria dan sedikit garam. Goreng hingga peria lembut. Hidang.
Daging Masak Serai
Daging Masak Serai
700g daging
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2" halia
2 batang serai
2-3 bijicili padi merah
1 biji cili hijau
sedikit minyak
sedikit garam
sedikit lada sulah
ajinomoto

Perap daging dengan lada sulah. Ketepikan.

Kisar bawang besar, bawang putih, halia, serai dan cili padi merah dengan sedikit air.

Panaskan kuali dan goreng daging tanpa minyak. Biar airnya keluar. Bila agak kering, masukkan sedikit minyak dan kemudian masukkan bahan-bahan kisar. Goreng sehingga bahan kisar wangi dan sebati.

Kemudian masukkan garam, ajinomoto dan bila daging telah masak, masukkan hirisan cili hijau. Kacau dan hidang.

Friday 29 September 2017

Air Madu Lemon
Air Madu Lemon
1 gelas air suam
2 sk madu
1 sk jus lemon
1 hiris lemon

Tuang air suam ke dalam gelas. Masukkan madu, jus lemon dan kacau. Masukkan pula sehiris lemon dan hidang.
Udang Goreng Kari
Udang Goreng Kari
10 ekor udang
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
1 batang serai
2 sb serbuk kari ikan
1 tangkai daun kari
sedikit garam
sedikit air
minyak untuk menumis

Perap udang dengan 1 sk serbuk kari ikan dan sedikit garam.

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang dan halia yang telah dihiris. Tumis sekali dengan serai yang telah dititik. Tumis hingga wangi.

Kemudian masuk udang dan serbuk kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Gaul rata. Masuk daun kari dan garam. Balik-balikkan udang dan biar masak dalam 10 minit. Hidang.
Sayur Campur ala Pelangi
Sayur Campur ala Pelangi
1/2 biji bawang
2 ulas bawang putih
1 keping isi ayam
4 floret brokoli
2" lobak merah
10 batang snowpeas
1/4 biji cili benggala kuning
2 pelepah kobis Cina
1 sb sos tiram
1/2 sk tepung jagung
sedikit air
minyak untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan putih yang telah dihiris hingga wangi. Masukkan isi ayam dan kacau sebentar. Kemudian masukkan lobak merah, cili benggala, brokoli, snowpeas dan kobis Cina. Gaul rata hingga sayur-sayur hampir masak.

Bancuh tepung jagung dengan sedikit air. Masukkan sos tiram dan bancuhan tepung jagung. Jika tak cukup masin, tambah sedikit garam. Gaul rata, angkat dan hidang.

Saturday 23 September 2017

Teh O Halia
Teh O Halia
1 uncang teh
1 mug air panas
3 hiris halia
2 sk gula

Letak hirisan halia di dalam mug. Tuang air panas dan biar dalam 1-2 minit. Masukkan uncang teh dan biar sekejap. Kemudian masukkan gula, kacau dan hidang.
Sandwich Telur

Sandwich Telur
2 keping roti
2 biji telur rebus
2 sb mayonis
1/2 sk mustard
1 helai daun salad
1/2 biji tomato
1/2 biji bawang
sedikit garam
sedikit lada sulah
sedikit mentega

Lecek telur bersama mayonis, mustard, bawang hiris, garam dan lada sulah. Sapu mentega pada roti. Letak sekeping daun salad dan telur yang telah dilecek tadi dan ratakan atas roti. Kemudian letak pula hirisan timun dan tomato dan sekeping roti lagi di atas telur. Potong kulit roti, kemudian potong dua bentuk menyerong.

Siap untuk di makan.
Kepak Ayam Goreng Bercili
Kepak Ayam Goreng Bercili

5 keping kepak ayam
1 sk serbuk kunyit
1/2 sk serbuk cili
2 peket chilli flakes
sedikit garam
minyak untuk menggoreng


Gaul kepak ayam dengan serbuk kunyit, serbuk cili, chilli flakes dan garam. Kalau kering, tuang sedikit minyak dan gaul. Perap dalam 1 jam.

Panaskan minyak dan goreng kepak ayam hingga garing.

Saturday 16 September 2017

Air Barli Lemon
Air Barli Lemon
1 cawan barli
1.5 liter air
gula secukupnya
2 sb jus lemon
sehiris lemon
air batu

Cuci barli dan rebus barli dengan air hingga lembut. Masukkan gula dan kacau. Bila barli lembut, tutup api dan biar barli sejuk sekejap. Tuang dalam gelas, masukkan jus lemon dan beberapa ketul air batu. Hias dengan sepotong lemon.
Pucuk Manis Masak Lemak
Pucuk Manis Masak Lemak

1 ikat pucuk manis
1 biji keledek
1/2 biji bawang besar
1 biji cili merah
1/2 biji kelapa
sedikit ikan bilis
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam
sedikit ajinomoto

Ikan bilis boleh dikisar atau dibiarkan begitu sahaja. Rebus keledek hingga separuh masak. Sejukkan dan potong kiub besar.

Masuk santan, keledek, ikan bilis dan bawang ke dalam periuk. Tak perlu menumis bawang bila masak lemak. Gunakan api kecil dan biarkan mendidih.

Jika mahu kuah kekuningan, masukkan serbuk kunyit. Masukkan sayur pucuk manis, garam, ajinomoto dan cili merah. Bila sayur masak, angkat dan hidang.
Sambal Ikan Bilis
Sambal Ikan Bilis

70g ikan bilis
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
5 sb cili boh
2 sk gula
1 keping asam
sedikit garam
minyak untuk menumis

Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.

Kisar 11/2 biji bawang besar bersama bawang putih. Baki 1/2 biji bawang besar dihiris.

Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang bahan kisar dengan bawang hiris hingga wangi. Masukkan cili boh dan kacau. Kemudian masukkan sedikit air dan kacau lagi dalam 5 minit. Biar cili masak lebih kurang dalam 10 minit lagi. Masukkan gula, sedikit garam dan asam keping. Akhir sekali, masukkan ikan bilis tadi. Kacau dan hidang.