Sunday, 28 February 2016

Sambal Udang ala Thai
Sambal Udang ala Thai
10 ekor udang saiz sederhana
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
4 hiris halia
1 batang serai
3 sb cili boh
3 sb sos cili Thai
1 keping asam keping
6-7 helai daun limau purut
sedikit air
sedikit garam
minyak untuk menggoreng

Perap udang dengan garam dan lada sulah selama 1/2 jam. Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris. Serai diracik halus.

Panaskan minyak dan goreng udang sehingga warnanya bertukar kekuningan. Kemudian angkat, toskan minyak dan ketepikan.

Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis pula bawang-bawang, halia dan serai hingga terbit aroma. Masuk cili boh dan kacau beberapa minit. Masukkan sedikit air jika cili kering. Kemudian masukkan sos cili Thai, asam keping, daun limau purut dan sedikit air. Kacau sehingga kesemua bahan-bahan sebati. Perasakan dengan sedikit garam. Tak perlu masukkan gula sebab sos cili Thai dah manis. Akhir sekali, masukkan udang yang telah digoreng tadi. Gaul dan hidang.

Friday, 26 February 2016

Bihun Goreng Tom Yam
Bihun Goreng Tom Yam
1 keping bihun kering
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1" halia
1 batang serai
1 biji cili merah
1 paket pes tom yam
1/4 sk stok ayam
sedikit air
1 keping fishcake
4 keping fillet ayam
10 ekor udang
2" lobak merah
1 pokok sawi Jepun
7 helai daun limau purut
sedikit garam
minyak untuk menumis

Bihun direndam selama 1 jam dan kemudian dicelur. Tos dan ketepikan sebentar.

Bawang besar, bawang putih, halia dan serai dikisar dengan sedikit air. Cili merah pula dihiris. 

Ayam dipotong kecil-kecil dan fishcake dihiris. Lobak merah dipotong seperti batang mancis dan sawi Jepun dipotong tiga.

Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan kisar hingga wangi. Masukkan pes tom yam dan tumis lagi hingga keluar minyak. Jika bahan-bahan tumis agak kering, masukkan sedikit air. Masukkan pula ayam dan kacau seketika. Kemudian masukkan fish cake, udang, stok ayam dan daun limau purut. Kacau lagi hingga bahan-bahan tadi hampir masak. Akhir sekali, masukkan bihun yang telah direndam bersama sawi Jepun. Gaul rata dan masukkan juga cili merah. Gaul 2-3 kali, kemudian angkat dan hidang.
Bendi Goreng Udang Kering
Bendi Goreng Udang Kering
8 biji bendi
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
1 sb udang kering
1/2 sk garam
sedikit air
minyak untuk menumis

Bendi dipotong serong. Bawang besar, bawang putih, udang kering dan 1 biji cili merah dikisar. Satu lagi cili merah dihiris.

Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan bendi dan kacau rata. Jika kering, masukkan sedikit air. Bila bendi hampir masak, masukkan hirisan cili merah dan perasakan dengan garam. Hidang.

Wednesday, 24 February 2016

Ayam Bbq Pedas

Ayam Bbq Pedas
1/2 ekor ayam
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2" halia
1 batang serai
2 sb Sos Barbeku Pedas Knorr
1 sk garam
1 paket chilli flakes
1 biji kentang
1/2 biji lada benggala merah
sedikit daun sup atau daun ketumbar
minyak zaitun

Bawang besar, bawang putih, halia dan serai dikisar halus. Kentang dipotong empat. Lada benggala dihiris memanjang.

Perap ayam dengan bahan-bahan kisar, chilli flakes dan Sos Barbeku Pedas. Gaul sebati dan simpan didalam peti sejuk selama 2-3 jam. Kemudian keluarkan ayam dari peti sejuk dan biarkan dalam 1/2 jam. Masukkan garam dan minyak zaitun dan gaul rata.

Panaskan griddle pan dengan sedikit minyak zaitun dan grill ayam hingga masak, lebih kurang dalam 40 minit. Jika ayam kering, tuangkan sedikit minyak zaitun dan balik-balikkan ayam. Bila ayam dah masak, angkat dan letak dalam pinggan.

Gaul kentang dan lada benggala dengan baki perapan ayam. Kemudian grill kentang dan lada benggala hingga masak. Angkat dan letak bersama ayam yang telah digrill tadi. Tabur dengan sedikit hirisan daun sup semasa menghidang ayam.
Sawi Bunga Goreng
Sawi Bunga Goreng
1 ikat sawi bunga
1/2 biji bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 biji cili merah - hiris
1 keping fish cake - hiris
sedikit air
sedikit serbuk perasa
minyak untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang-bawang hingga wangi. Masukkan sawi bunga dan goreng. Masukkan sedikit air jika sayur kering. Kemudian masukkan pula fish cake, cili merah, serbuk perasa dan sedikit garam. Kacau sekejap dan hidang.

Monday, 22 February 2016

Curry Leaves Butter Prawns
Curry Leaves Butter Prawns
500g udang saiz besar
3 ulas bawang putih - cincang halus
5 biji cili padi - cincang halus
10 helai daun kari
1 sb mentega
2 biji telur - pukul
sedikit garam
sedikit serbuk lada sulah
minyak untuk menggoreng

Perap udang dengan sedikit garam dan lada sulah dalam 10 minit. Ketepikan.

Panaskan kuali dengan minyak. Masukkan udang dan goreng hingga udang bertukar warna kepada merah kekuningan. Angkat, tos dan ketepikan.

Dengan menggunakan kuali yang serupa, masukkan mentega dan biar panas sedikit. Kemudian masukkan bawang putih dan tumis. Bila dah wangi, masukkan pula cili padi dan sedikit air. Kacau rata. Kemudian masukkan daun kari, sedikit garam dan lada sulah. Kacau lagi dan masukkan pula udang tadi dan gaul rata. Tuang telur ke dalam kuali dan gaul bersama udang dan bahan-bahan lain hingga rata. Sedia untuk dihidangkan.

Friday, 19 February 2016

Peria Goreng Ikan Bilis
Peria Goreng Ikan Bilis
1 biji peria katak
1 biji bawang - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 biji cili hijau - hiris
3 sb ikan bilis
1 biji telur - pukul
sedikit garam
minyak untuk menumis

Hiris peria nipis-nipis. Gaul dengan sedikit garam dan ketepikan selama lebih kurang 15 minit supaya air pahit dari peria keluar. Kemudian bilas peria dan toskan.

Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing, kemudian angkat, tos dan ketepikan. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang-bawang hingga wangi. Masukkan peria dan kacau beberapa minit. Kemudian masukkan pula cili hijau dan telur. Kacau supaya peria disaluti telur. Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan garam. Gaul rata dan hidang.